Saturday, May 14, 2011

...ADAB MINUM DALAM ISLAM......

Jangan Minum Sambil Berdiri. 
Islam melarang umatnya minum secara sekali gus atau terus-menerus air di dalam satu tempat air, sebaliknya sunat membaca bismillah dan mengucapkan alhamdulillah serta hendaklah diminum dengan dua atau tiga teguk. 

Larangan itu berasaskan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : 
"Jangan minum terus-menerus seperti cara binatang minum. Tetapi minumlah dua teguk, dua teguk dan tiga teguk, tiga teguk. Dan baca bismillah apabila kamu minum dan baca alhamdulillah apabila selesai meminumnya." 
(Riwayat Imam Al-Tarmizi) 
Islam juga menasihatkan umatnya daripada meminum air dalam tempat simpan seperti teko atau cerek dan sebagainya. Makruh meniup ke dalam air yang akan diminum sama ada air itu panas atau sebagainya. Ini menunjukkan Islam mementingkan kesihatan bagi umatnya dan mengajar supaya mereka tidak tergopoh-gapah untuk minum sehingga tiada kesabaran menunggu dan menanti air itu sejuk terlebih dahulu. 
Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Imam Abu Hurairah, katanya: "Rasulullah s.a.w. telah melarang meminum daripada mulut tempat air minum seperti (botol, kendi, teko atau cerek dan lain-lain) atau terus dari paip air." Ini kerana, perbuatan sedemikian melanggar kesopanan atau melanggar adat minum yang diajar Rasulullah s.a.w. atau boleh menyebabkan jangkitan kuman yang membahayakan kesihatan umum. Ini jelas menunjukkan Islam mementingkan kesihatan serta kebersihan dan makruh pula meniup di dalam air minum atau bernafas di dalam minum. 
Sebagai seorang Islam, adab minum dan makan hendaklah dipentingkan terlebih dahulu supaya orang lain dapat mengambil iktibar dan contoh yang baik sesuai dengan kelakuan sebagai insan yang diciptakan sebagai khalifah muka bumi. Islam juga menegah umatnya minum atau makan sambil berdiri. Ini ditegaskan dalam hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: "Janganlah sekali-kali seseorang daripada kamu membiasakan minum berdiri. Siapa yang terlupa hendaklah dia memuntahkan kembali minuman itu." 
Islam melarang umatnya daripada meminum atau memakan terlalu kenyang kerana banyak penyakit yang akan datang apabila perut terlalu kenyang atau terlalu penuh, sama ada dengan minuman atau makanan, sebaliknya hendaklah satu bahagian dikosongkan supaya dapat bernafas dan berfikir. Ini dijelaskan kepada hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Al-Tirmizi yang bermaksud: 
"Tiada satu tempat yang dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya selain daripada perutnya. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri beribadah). Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada tiga bahagian, satu untuk makanan, satu untuk minuman dan satu lagi kosongkan untuk bernafas."

sharing is caring ^_^

No comments:

Post a Comment